LEMBAGA TABUNG ANGKATAN TENTERA

"Kecemerlangan LTAT, Keselesaan Warga Tentera"

SOALAN-SOALAN LAZIM 
PERKHIDMATAN PELANGGAN

Soalan 1

Apa itu LTAT?

Jawapan

LTAT ialah sebuah Badan Berkanun Kerajaan yang telah ditubuhkan melalui Akta Parlimen, Akta 101, 1973 bagi mengadakan faedah-faedah persaraan dan faedah-faedah lain kepada pencarum-pencarum wajib LTAT, yang terdiri daripada Pegawai Tetap ATM dan Anggota Lain-Lain Pangkat berserta pencarum sukarela yang terdiri dari Pegawai ATM dan Anggota Kerahan Angkatan Sukarela (AKAS).

Soalan 2

Siapakah Pencarum Wajib?

Jawapan

Pencarum Wajib LTAT terdiri daripada Pegawai Tetap ATM dengan kadar caruman bulanan yang diwajibkan sebanyak 10% dari gaji bulanan dan 15% sumbangan kerajaan secara notional dan Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ATM dengan kadar caruman bulanan yang diwajibkan sebanyak 10% dari gaji bulanan + 15% sumbangan Kerajaan. Jumlah yang dikreditkan ke dalam akaun pencarum setiap bulan ialah bersamaan 25%.

Soalan 3

Siapakah Pencarum Sukarela?

Jawapan

Pencarum Sukarela LTAT adalah dari kalangan Pegawai Tetap ATM termasuk Anggota LLP yang ditauliahkan dan Anggota Kerahan Angkatan Sukarela (AKAS) dengan kadar caruman minima RM25.00 dengan gandaan RM5.00 sehingga maksima RM2,000.00 sebulan. Tiada sumbangan Kerajaan dan keahlian adalah secara memohon terus kepada LTAT.

Soalan 4

Apakah faedah-faedah utama menjadi Pencarum Wajib dan Pencarum Sukarela?

Jawapan

  1. Pencarum akan menerima dividen dan bonus tahunan yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun pencarum pada penghujung tahun dan pencarum juga akan menerima bonus khas dalam bentuk Dana Unit Amanah secara percuma. Pemberian bonus khas ini adalah bergantung kepada prestasi kewangan semasa LTAT.
  2. Dividen dan bonus ini dikompaunkan kepada jumlah caruman pencarum untuk menjadi jumlah caruman terkumpul.
  3. Caruman kepada LTAT tidak dikenakan cukai pendapatan (pada masa ini sehingga RM6,000 setahun).
  4. Faedah Khairat Kematian akan diberikan kepada waris bagi pencarum yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan.
  5. Faedah HilangUpaya kepada pencarum yang diberhentikan dari perkhidmatan kerana kecacatan tubuh badan atau akal fikiran yang berkekalan.
  6. Pengeluaran caruman dilakukan secara sekaligus.
  7. Pengeluaran sebahagian caruman untuk menampung kos pembelian rumah atau tanah kediaman yang pertama.

Soalan 5

Bagaimanakah kadar dividen atau bonus ditentukan oleh LTAT?

Jawapan

Kadar dividen dan bonus, jika ada, akan ditetapkan oleh Lembaga Pengarah LTAT dengan nasihat Panel Pelaburan dan pihak Aktuari yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Kadar dividen dan bonus tahunan yang ditetapkan adalah berdasarkan kepada keuntungan pelaburan LTAT bagi tahun berkenaan.

Soalan 6

Apakah faedah-faedah sampingan sebagai pencarum?

Jawapan

LTAT sentiasa berusaha mengenalpasti faedah baru yang boleh mendatangkan manfaat kepada pencarum atau keluarga atau warisnya.

Di antara faedah-faedah sampingan yang telah diwujudkan ialah:

       i.        Anugerah Kecemerlangan Pendidikan LTAT-Yayasan LTAT (AKP LTAT-Yayasan LTAT) berupakan dermasisiwa kepada anak-anak ATM yang cemerlang di dalam peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan yang mendapat tempat di IPTA manakala anak-anak bekas ATM bagi peperiksaan UPSR dan PT3. Selain itu, AKP LTAT-Yayasan LTAT juga menyediakan dermasiswa bagi “Role Model” dan Penajaan Program Pembelajaran “Home Tutor” bagi anak-anak pertama anggota LLP ATM yang memperolehi 4A 2B atau 4A 1B 1C di dalam peperiksaan UPSR dan berpotensi di dalam bidang pelajaran supaya menjadi contoh (Role Model) bagi ahli keluarga yang lain.

    ii.    Menawarkan anggota-anggota ATM/Veteran ATM untuk membeli rumah-rumah kos rendah yang dibangunkan melalui anak-anak syarikat.

        iii.        Anugerah Wira Niaga (dengan kerjasama Affin Bank Berhad, PERHEBAT dan Boustead Holdings Berhad).

Soalan 7

Bagaimanakah cara untuk menjadi pencarum wajib?

Jawapan

Pegawai Tetap ATM yang ditauliahkan selepas 1 Januari 2016 diwajibkan mencarum dan Anggota ATM Lain-lain Pangkat akan menjadi pencarum secara automatik setelah potongan pertama caruman bulanan diterima oleh LTAT dari UGAT. Potongan caruman bulanan akan dibuat ke atas penggajian bulanan anggota dan akan dimajukan setiap bulan oleh UGAT kepada LTAT.

Soalan 8

Bagaimanakah cara untuk menjadi pencarum sukarela?

Jawapan

Pegawai-pegawai ATM dan AKAS boleh memohon untuk menjadi pencarum sukarela dengan melengkapkan borang permohonan yang boleh diperolehi secara percuma di kaunter LTAT, muat turun borang dari laman sesawang LTAT www.ltat.org.my atau dari mesin e-kiosk LTAT. Arahan potongan caruman akan dimajukan kepada UGAT untuk urusan membuat potongan caruman bulanan ke atas penggajian bulanan pegawai dan caruman bulanan ini akan dimajukan setiap bulan oleh UGAT kepada LTAT.

Soalan 9

Berapa lamakah permohonan untuk menjadi ahli ini diluluskan?

Jawapan

Bagi pencarum wajib keahliannya adalah automatik apabila caruman pertama diterima oleh LTAT diserapkan ke dalam perkhidmatan tetap dan berkuatkuasa apabila potongan caruman dimajukan kepada LTAT oleh pihak UGAT.

Bagi pencarum sukarela permohonan mereka diluluskan dengan serta merta (tertakluk kepada had permohonan mencarum secara sukarela iaitu sebanyak 2 kali) setelah borang permohonan diterima oleh LTAT dan berkuatkuasa apabila wang caruman dimajukan kepada LTAT oleh pihak UGAT.

Soalan 10

Bilakah caruman boleh dikeluarkan?

Jawapan

Berdasarkan kepada Seksyen 12 Akta 101 LTAT, caruman bagi pencarum wajib termasuk caruman anggota yang ditauliahkan boleh dikeluarkan apabila:

              i.        Pencarum meninggal dunia; atau

             ii.        1 bulan setelah pencarum diberhentikan dari perkhidmatan; atau

            iii.        Pencarum mencapai usia 50 tahun.

Bagi pencarum sukarela, pengeluaran simpanan boleh dibuat pada bila-bila masa dan kelonggaran untuk menjadi ahli bagi kali kedua diberikan walaupun telah membuat pengeluaran kali pertama. 

Walau bagaimanapun di bawah Seksyen 15B, pencarum juga boleh mengeluarkan sebahagian dari wang caruman mereka di bawah Skim Pengeluaran Caruman Bagi Pembelian Harta Tak Alih.

Soalan 11

Bagaimanakah caruman dibayar balik?

Jawapan

Apabila seorang pencarum layak mengeluarkan caruman atau simpanannya, bayaran balik dibuat dengan pembayaran sekaligus setelah semua dokumen-dokumen pengeluaran caruman lengkap diterima oleh LTAT dari Jabatanarah Urusan Gaji ATM (UGAT).

Soalan 12

Adakah LTAT mengambil masa yang lama untuk membuat pembayaran?

Jawapan

Pembayaran dibuat dalam masa 24 jam setelah LTAT menerima dokumen yang lengkap dari Jabatanarah Urusan Gaji ATM (UGAT).

Soalan 13

Berapakah jumlah yang akan dibayar balik oleh LTAT?

Jawapan

Jumlah wang yang akan dibayar balik bergantung kepada keadaan berikut:

       i. Pencarum yang berpencen akan menerima bahagian caruman ahli termasuk keuntungan terkumpul ke atas caruman ahli sahaja. Caruman Kerajaan berserta keuntungan terkumpul akan dikembalikan kepada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP). Ahli akan dibayar pencen bulanan oleh Kerajaan (Pegawai Tetap & LLP).

     ii. Pencarum yang tidak berpencen akan menerima bahagian caruman mereka dan Caruman Kerajaan termasuk keuntungan terkumpul bagi kedua-duanya (LLP).

        iii. Pencarum yang tidak berpencen (Pegawai ATM berkhidmat kurang 20 tahun) dan tidak memilih Ganjaran Tamat Perkhidmatan akan menerima bahagian caruman mereka dan Caruman Kerajaan termasuk keuntungan terkumpul bagi kedua-duanya.

      iv. Pencarum yang tidak berpencen (Pegawai ATM berkhidmat kurang 20 tahun) dan memilih Ganjaran Tamat Perkhidmatan akan menerima bahagian caruman ahli termasuk keuntungan ke atas caruman ahli sahaja. Manakala Caruman Kerajaan berserta keuntungan terkumpul tidak diperolehi.

     v.    Jika pencarum diberhentikan perkhidmatan kerana hilang keupayaan akal atau jasmani yang berkekalan, pencarum akan menerima bahagian carumannya termasuk keuntungan terkumpul ditambah dengan Faedah Hilang Upaya. Caruman Kerajaan berserta keuntungan akan dikembalikan kepada KWAP.

    vi.  Jika pencarum meninggal dunia dalam perkhidmatan, waris akan menerima caruman dan dividen ahli serta ditambah dengan bayaran Faedah Khairat Kematian. Caruman Kerajaan berserta keuntungan akan dikembalikan kepada KWAP.

   vii.  Pembayaran balik caruman kepada pencarum/waris akan ditolak dahulu hutang kerajaan (jika ada) sebelum pembayaran balik dibuat.

Soalan 14

Berapakah jumlah bayaran Skim Faedah Khairat Kematian atau Hilang Upaya?

Jawapan

Jumlah pemberian di bawah Skim Faedah Khairat Kematian Dan Hilang Upaya adalah berasaskan satu rumusan (formula) yang mengambilkira:  

   i.   Faktor yang berdasarkan kepada tempoh pencarum mencarum di LTAT sehingga tarikh pencarum  meninggal dunia atau tarikh pemberhentian perkhidmatan atas sebab hilang upaya, dan 

     ii.      Jumlah caruman terkumpul anggota (Bahagian Ahli)

 Jumlah pembayaran di bawah skim ini adalah (i) x (ii)

Soalan 15

Apakah syarat-syarat untuk mendapatkan bayaran Skim Faedah Hilang Upaya?

Jawapan

Faedah Hilang Upaya adalah berdasarkan pemberhentian yang ditakrifkan sebagai Peraturan 61/(1)(g) dan yang setaraf dengannya iaitu ‘Medical standard is below that required for retention/medically unfit’ atau bersamaan dengan BR 9748 – Article 1014 Invaliding bagi Tentera Laut yang tercatat pada Kenyataan Perkhidmatan anggota iaitu BATD132 dan hendaklah disokong dengan keputusan Lembaga Perubatan iaitu BATF 524/525.

Soalan 16

Bagaimanakah cara memohon untuk mengeluarkan caruman?

Jawapan

Jika syarat pengeluaran dipenuhi, permohonan untuk mengeluarkan caruman dibuat dengan melengkapkan borang LTAT/PWCA/14-2/1 (Borang Pengakuan Ahli) yang boleh diperolehi secara percuma semasa menjalani Dokumentasi Akhir di KEMENTAH. Pastikan maklumat yang diisi adalah lengkap dan tepat.

Soalan 17

Jika pencarum meninggal dunia bagaimanakah wang carumannya dikeluarkan?

Jawapan

Penama atau waris pencarum boleh memohon untuk mengeluarkan caruman dengan mengemukakan dokumen berikut:

   i)     Borang LTAT/PWCA/14-2/2 (Borang Pengakuan Waris) yang boleh diperolehi melalui kaunter LTAT atau memuat turun dari laman sesawang LTAT di www.ltat.org.my.

   ii)      Menyertakan salinan kad pengenalan pewaris/penama dan lain-lain dokumen yang berkaitan.

Soalan 18

Bagaimanakah pewaris atau penama mengetahui tentang caruman atau simpanan yang berada di LTAT?

Jawapan

Pihak penama atau waris akan dihubungi oleh pihak Jabatanarah Rekod dan Pencen (JRP). Oleh yang demikian amatlah penting maklumat waris atau penama yang dikemaskini dimaklumkan kepada JRP, Kementerian Pertahanan.

Soalan 19

Siapakah yang berhak ke atas caruman anggota tentera yang meninggal dunia dalam perkhidmatan?

Jawapan

Apabila pencarum meninggal dunia, pihak JRP akan memajukan senarai waris-waris yang sah dan berhak kepada LTAT bagi tujuan pembayaran balik wang caruman LTAT. Kebiasaannya waris yang berhak yang dinamakan bagi anggota yang masih bujang adalah ibubapa atau adik-beradik (sekiranya ibubapa telah meninggal dunia). Manakala bagi anggota yang telah berkahwin, waris yang berhak adalah balu/duda dan ibubapa. Terdapat juga kes di mana waris yang dinamakan oleh JRP adalah penjaga yang membesarkan pencarum dan sebagainya tertakluk kepada hasil siasatan/semakan yang dibuat oleh KEMENTAH.

Pecahan peratus kelayakan waris adalah berdasarkan kepada suatu jadual yang telah ditetapkan oleh Lembaga berdasarkan kepada ikatan pertalian waris dan gemulah di mana bilangan tanggungan anak oleh balu juga diambilkira.

Anak di dalam kandungan hanya akan diambilkira dalam pecahan peratus sekiranya maklumat tambahan (Sijil Kelahiran) diserahkan sebelum proses pembayaran dilaksanakan.

Soalan 20

Bagaimanakah cara pembayaran balik wang caruman LTAT?

Jawapan

Pembayaran balik wang caruman LTAT adalah melalui kaedah Sistem Pengkreditan Terus Ke Dalam Akaun Bank Ahli.

Senarai Panel Bank yang dilantik oleh LTAT berserta kod Bank untuk kemudahan Sistem Pengkreditan Terus Ke Dalam Akaun Bank adalah seperti berikut:

Kod Bank

Nama Bank

Kod Bank

Nama Bank

01

AFFIN BANK Berhad

09

Public Bank

02

CIMB Bank

10

RHB Bank

03

Maybank

11

Bank Rakyat

04

Bank Islam Malaysia Bhd

12

Bank Simpanan Nasional

05

Alliance Bank

13

Bank Muamalat

06

AmBank

14

HSBC

07

EON Bank

15

Standard Chartered

08

Hong Leong Bank

 

 

Soalan 21

Apakah dokumen yang diperlukan untuk menunaikan cek pengeluaran dari LTAT?

Jawapan

Pencarum atau waris/penama perlu mengemukakan Kad Pengenalan Awam kepada mana-mana cawangan Affin Bank Berhad di mana pengeluaran wang akan dibuat.

Soalan 22

Apakah syarat-syarat anda boleh membuat pengeluaran untuk tujuan membeli rumah?

Jawapan

Pada tarikh permohonan, pencarum:

i)        telah mencapai umur dua puluh dua (22) tahun; dan

ii)       telah mencarum tidak kurang daripada lima (5) tahun kepada LTAT; dan

iii)     bukan seorang pemilik berdaftar apa-apa harta tak alih (rumah/tanah) iaitu pengeluaran   caruman ini adalah untuk tujuan membeli harta tak alih yang pertama sahaja; dan

iv)     telah membuat suatu perjanjian jual beli yang sah yang pada pendapat LTAT adalah suatu bukti yang mantap untuk membeli sesuatu harta tak alih dan Surat Perjanjian Jual Beli berkenaan hendaklah bertarikh pada atau selepas 1 Februari 1995; atau

v)      telah mengambil pinjaman atas gadaian harta tak alih (rumah/tanah) itu.

vi)  pencarum hanya dibenar mengeluarkan caruman mereka (bahagian pencarum sahaja) sekali sepanjang tempoh mencarum

vii)     pengeluaran bagi tujuan pengubahsuaian adalah tidak dibenarkan.

Soalan 23

Berapa kalikah wang caruman boleh dikeluarkan untuk tujuan skim pembelian rumah?

Jawapan

Pencarum hanya dibenar mengeluarkan caruman mereka (bahagian pencarum sahaja) sekali sepanjang tempoh mencarum.

Soalan 24

Adakah pencarum boleh mengeluarkan caruman untuk mengubahsuai rumah?

Jawapan

Skim pengeluaran perumahan hanyalah bagi:

a)   Pembelian harta tak alih termasuk perbelanjaan sampingan seperti bayaran guaman dan duti setem; dan

b)   Pengubahsuaian yang perlu bagi mengadakan keselamatan pada harta tak alih itu.

(Pengeluaran bagi tujuan pengubahsuaian adalah tidak dibenarkan).

Soalan 25

Berapakah jumlah yang boleh dikeluarkan?

Jawapan

Amaun yang boleh dikeluarkan di bawah peraturan ini hendaklah:

i)     Tidak melebihi 40% daripada amaun yang ada pada kredit akaun pencarum itu; atau

ii)     Tidak melebihi 10% dari harta tak alih; atau

iii)    Tidak melebihi sepuluh ribu ringgit (RM10,000.00).

(Pembayaran adalah mengikut mana yang terendah).

Soalan 26

Bagaimanakah permohonan pengeluaran caruman ahli untuk perumahan boleh dibuat?

Jawapan

Permohonan boleh dibuat melalui borang permohonan pengeluaran (LTAT/PWCA 47) yang boleh diperolehi secara percuma di kaunter LTAT atau muat turun borang dari laman sesawang LTAT www.ltat.org.my

Soalan 27

Berapa lamakah proses pembayaran bagi pengeluaran caruman ahli untuk perumahan ini?

Jawapan

Pembayaran akan dijelaskan dalam tempoh 24 jam dari tarikh dokumen pembayaran disemak dan didapati teratur serta memenuhi syarat pengeluaran. 

Soalan 28

Adakah pencarum boleh mengeluarkan caruman bagi tujuan pembayaran yuran untuk menyambung pelajaran ke IPTA?

Jawapan

Tidak boleh kerana skim pengeluaran yang dibenarkan di LTAT adalah mengambilkira objektif utama penubuhan LTAT untuk menyediakan wang persaraan kepada Pegawai Tetap dan anggota LLP serta menyediakan satu skim simpanan bagi pegawai dan Anggota Kerahan Angkatan Sukarela (AKAS). Walau bagaimanapun Lembaga Pengarah dan Pengurusan LTAT sentiasa mengkaji dari semasa ke semasa kemudahan dan faedah-faedah yang boleh disalurkan kepada pencarum LTAT. 

Soalan 29

Kenapa hanya anggota LLP sahaja diwajibkan mencarum sedangkan Pegawai tidak diwajibkan?

Jawapan

LTAT tertakluk kepada Akta 101 yang hanya mewajibkan anggota LLP dalam perkhidmatan tetap untuk mencarum di LTAT. Walau bagaimanapun, berkuatkuasa 1 Januari 2016, Skim Caruman Wajib LTAT dipanjangkan kepada Pegawai Tauliah Jangka Pendek dan Pegawai Tauliah Tetap dalam Angkatan Tetap ATM dengan kadar potongan caruman ahli sebanyak 10% dari gaji bulanan akan dikreditkan ke dalam akaun pencarum setiap bulan dan kadar caruman kerajaan sebanyak 15% dari gaji bulanan secara notional.

Soalan 30

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘Bonus Khas’?

Jawapan

Bonus Khas merupakan pemberian bonus tambahan dalam bentuk Dana Unit Amanah yang diberikan secara percuma kepada pencarum-pencarum yang layak. Kadar bayaran adalah bergantung kepada prestasi dan keuntungan LTAT bagi tahun-tahun semasa.

Soalan 31

Adakah Dana Unit Amanah boleh dijual?

Jawapan

Bonus khas dalam bentuk Dana Unit Amanah ini adalah juga tertakluk kepada Seksyen 12 Akta LTAT d mana ianya tidak boleh dijual sehingga anggota telah membuat pengeluaran caruman mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Salah satu daripada tujuan memberikan bonus khas dalam bentuk Dana Unit Amanah adalah bagi menggalakkan pencarum LTAT terus menyimpan bagi tempoh jangkamasa yang panjang bagi membolehkan mereka menikmati pulangan dalam bentuk dividen dan peningkatan modal pelaburan.

Oleh yang demikian pencarum LTAT boleh terus menyimpan Dana Unit Amanah walaupun telah tamat perkhidmatan.  

Soalan 32

Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh pesara sekiranya surat pemberian Dana Unit Amanah hilang?

Jawapan

Anggota boleh menghubungi LTAT untuk mendapatkan semula salinan surat berkenaan.

Soalan 33

Adakah pelaburan LTAT halal?

Jawapan

Ya. Pelaburan yang dibuat adalah halal dan tidak bertentangan dengan hukum Syarak.

Soalan 34

Adakah caruman pencarum LTAT dibayar zakat?

Jawapan

LTAT ada menjelaskan zakat perniagaan. Walau bagaimanapun, caruman pencarum LTAT tidak dibayar zakat.  Memandangkan pencarum LTAT adalah terdiri dari penganut pelbagai agama, pencarum beragama Islam bolehlah menyelesaikan segala urusan pembayaran zakat masing-masing secara persendirian.

Soalan 35

Adakah anggota yang diberhentikan di bawah tindakan tatatertib berhak untuk memperolehi caruman kerajaan?

Jawapan

Pencarum yang menamatkan perkhidmatan di bawah tindakan tatatertib kebiasaannya berstatus tidak berpencen dan dengan itu layak untuk menerima caruman ahli dan caruman kerajaan kecuali sekiranya terdapat arahan untuk menahan/membatal pembayaran caruman kerajaan.

Soalan 36

Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pencarum yang diberhentikan di bawah tindakan tatatertib untuk mengeluarkan wang caruman?

Jawapan

Pencarum perlu menghubungi JRP dan UGAT bagi memastikan borang-borang yang diperlukan untuk anggota membuat pengeluaran caruman adalah lengkap dan dimajukan kepada LTAT.

Soalan 37

Adakah bekas isteri layak untuk mendapatkan sebahagian wang caruman bekas suami melalui arahan Mahkamah Syariah?

Jawapan

Tidak. Seksyen 13 Akta LTAT jelas menyatakan bahawa wang pencarum LTAT tidak boleh diserah hak atau dipindah milik atau ditahan, diasingkan ataupun dilevi kecuali bagi bayaran hutang kerajaan.

Soalan 38

Adakah wang caruman LTAT boleh dituntut oleh mana-mana pihak lain bagi menyelesaikan sebarang pinjaman yang dibuat oleh pencarum?

Jawapan

Tidak. Seksyen 13 Akta LTAT jelas menyatakan bahawa wang pencarum LTAT tidak boleh diserah hak atau dipindah milik atau ditahan, diasingkan ataupun dilevi kecuali bagi bayaran hutang kerajaan.

Soalan 39

Adakah pencarum yang disenarai hitam (black list) boleh mengeluarkan wang caruman?

Jawapan

Caruman LTAT boleh dikeluarkan apabila anggota memenuhi syarat-syarat pengeluaran tanpa mengambilkira sama ada status pencarum disenarai hitam atau tidak.

Soalan 40

Adakah anggota yang Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) berhak untuk mengeluarkan caruman?

Jawapan

Pencarum yang THTC perlu memastikan pemberhentian mereka adalah mengikut saluran yang sah memandangkan pengeluaran wang caruman hanya boleh dibuat setelah dokumen-dokumen pemberhentian seperti berikut dimajukan oleh UGAT kepada LTAT:

i)       Dokumen pengesahan perkhidmatan (Bat D 132);

ii)      Sijil Penyelesaian Hutang oleh UGAT; dan

iii)    Anggota juga perlu melengkapkan Borang Pengakuan Ahli, Sesalinan Kad Pengenalan dan Pengesahan Akaun Bank.

Soalan 41

Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh anggota THTC untuk mengeluarkan caruman?

Jawapan

Anggota THTC perlu melapor diri di pasukan terakhir mereka dan perlu melalui proses pemberhentian yang ditetapkan oleh ATM.

Soalan 42

Mengapakah LTAT tidak membangunkan projek-projek perumahan di negeri-negeri lain selain Kuala Lumpur dan Johor termasuk Sabah dan Sarawak?

Jawapan

Pembangunan projek perumahan oleh LTAT adalah berdasarkan kepada beberapa faktor;

i)       Sambutan oleh anggota tentera.

ii)   Memastikan hanya kawasan yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi yang dibangunkan bagi membolehkan anggota mendapat pulangan yang baik ke atas pelaburan hartanah yang dibuat.

iii)      Tertakluk kepada kesesuaian tapak projek jika ada untuk dibangunkan.

iv)  Harga perolehan tapak projek adalah berpatutan bagi memastikan harga rumah-rumah yang dibangunkan kelak di dalam lingkungan harga yang mampu dibeli oleh anggota-anggota tentera dan merupakan rumah-rumah yang berkualiti.

Selain daripada projek perumahan yang dibangunkan oleh LTAT dan kumpulan syarikat LTAT, pencarum juga dinasihatkan supaya berhubung dengan pihak SUK negeri masing-masing untuk mendapatkan maklumat mengenai projek perumahan yang dibangunkan oleh SUK negeri tersebut.

Soalan 43

Bolehkah wang caruman LTAT dikeluarkan hanya sebahagian selepas tamat perkhidmatan?

Jawapan

Tidak boleh. Pengeluaran wang caruman LTAT akan dibuat secara sekali gus sebulan selepas tamat perkhidmatan atau bersara. Tertakluk kepada penerimaan lengkap dari UGAT.

Soalan 44

Bolehkah wang caruman LTAT terus disimpan selepas bersara?

Jawapan

Wang caruman LTAT tidak boleh terus disimpan selepas bersara.

Selaras dengan Peraturan-Peraturan Tabung Angkatan Tentera yang berkuatkuasa 2 Mac 2009, akaun-akaun caruman yang diklasifikasikan dorman akan diasingkan dan tidak lagi layak menerima dividen, bonus dan faedah-faedah lain daripada LTAT.

Pembayaran balik caruman ini akan dibuat kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut mengikut Akta Wang Tak Dituntut 1965 sekiranya masih tiada tuntutan dibuat dalam tempoh 2 tahun berikutnya.

Bagi pencarum-pencarum wajib, akaun caruman akan diklasifikasikan dorman sekiranya tiada tuntutan dibuat melalui Borang Pengeluaran Caruman dan dokumen pengeluaran yang disyaratkan telah lengkap diterima daripada UGAT.

Bagi pencarum-pencarum sukarela yang tidak aktif, akaun caruman akan diklasifikasikan sebagai akaun dorman sekiranya tiada caruman bulanan diterima oleh LTAT bagi tempoh satu tahun. 

Pencarum Sukarela hendaklah memastikan bahawa penyata gaji bulanan ada dibuat pemotongan caruman dan dimajukan kepada LTAT secara bulanan.

Soalan 45

Bolehkah Caruman Sukarela dimasukkan secara sekali gus?

Jawapan

Kadar baru caruman bulanan yang berkuatkuasa mulai Januari 2016 bagi caruman sukarela yang diluluskan pada masa kini adalah pada kadar minima RM25.00 sehingga RM2,000.00 sebulan (dengan gandaan RM5.00) dan caruman hanya diterima melalui potongan gaji secara bulanan.

Soalan 46

a) Bolehkah anggota LLP meneruskan caruman selepas perkhidmatan melebihi 21 tahun sehingga menamatkan perkhidmatan?

b) Adakah LTAT mempunyai sebarang cadangan untuk menambah kadar caruman anggota LLP?

Jawapan

a) Kadar dan tempoh caruman LTAT adalah tertakluk kepada Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera di mana caruman wajib akan terhenti secara automatik apabila pencarum telah mencapai tempoh perkhidmatan 21 tahun. Walau bagaimanapun berkuatkuasa mulai 01 November 2017 Majlis Angkatan Tentera (MAT) telah meluluskan pelanjutan perkhidmatan askar lasykar Angkatan Tetap 21 tahun terus ke 26 tahun perkhidmatan.

b) Sebarang cadangan ke atas pindaan kadar dan tempoh caruman yang melibatkan Skim Perkhidmatan Anggota bolehlah dimajukan kepada Kementerian Pengawal iaitu KEMENTAH.

Soalan 47

Bolehkah pencarum wajib yang mencapai status pencen (tidak lagi mencarum) diberikan kelonggaran untuk menyertai Skim Simpanan Sukarela?

Jawapan

Skim Simpanan Caruman Sukarela LTAT hanya dibuka kepada pegawai dan AKAS selain daripada anggota-anggota yang diwajibkan mencarum di LTAT dan Seksyen 9 (1) Akta LTAT pula mencatatkan bahawa wang caruman yang hendak dipotong daripada gaji bulanan seseorang askar-laskar adalah suatu amaun yang sama banyaknya dengan 10% dari jumlah gajinya yang dikira hingga 5 sen yang hampir sekali sebagai carumannya kepada Tabung.

Soalan 48

Bolehkah anggota LLP yang ditauliahkan pegawai dibayar juga caruman kerajaan semasa LLP dahulu?

Jawapan

Tidak boleh. LTAT dikehendaki membuat pembayaran balik caruman kerajaan tersebut kepada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP). Adalah dimohon anggota untuk merujuk perkara berkaitan dengan Skim Perkhidmatan Anggota kepada pihak JRP.

Soalan 49

Mengapakah pemberian kadar peratusan bonus khas tidak ditetapkan setiap tahun, atau tidak sama kadarnya dengan kadar peratusan dividen dan bonus tahunan?

Jawapan

Pembayaran bonus khas adalah bergantung kepada prestasi LTAT dan pada masa kini jumlah pulangan ke atas caruman yang diberikan LTAT adalah di antara yang tertinggi.

Soalan 50

Cadangan supaya wang caruman semasa anggota LLP boleh dikeluarkan selepas ditauliahkan pegawai.

Jawapan

Pengeluaran caruman bagi pencarum wajib LTAT adalah tertakluk sepenuhnya di bawah Seksyen 12 Akta 101 yang hanya membenarkan caruman dikeluarkan mengikut syarat-syarat berikut:

i)       apabila pencarum meninggal dunia;

ii)      sebulan selepas TTP

iii)      apabila pencarum mencapai umur 50 tahun.

Soalan 51

Bagaimanakah pengurusan hasil penjualan arak di kedai-kedai PERNAMA di mana hasil keuntungan PERNAMA adalah keuntungan untuk LTAT juga?

Jawapan

i)        Tidak semua kedai PERNAMA dibenarkan untuk menjual arak.

ii)       Penjualan arak adalah kepada anggota/pegawai ATM bukan Islam sahaja.

iii)    Hasil keuntungan arak tidak digunakan untuk pembayaran dividen dan bonus oleh LTAT kepada pencarum.  Pihak PERNAMA menggunakannya untuk tujuan tanggungjawab sosial dan perbelanjaan penyelenggaraan.

iv)     Ini adalah selaras dengan arahan kerajaan agar anggota tentera bukan Islam tidak diketepikan dari segi kemudahan/keistimewaan yang diberikan oleh PERNAMA.

Soalan 52

Adakah wujud panel syariah berhubung dengan pelaburan di LTAT?

Jawapan

Pelaburan yang dibuat oleh LTAT adalah dipantau sepenuhnya oleh Panel Pelaburan LTAT dan juga Lembaga Pengarah LTAT yang juga merangkumi Panglima Angkatan Tentera, Timbalan Panglima dari setiap cabang iaitu darat, laut dan udara yang mewakili tentera. LTAT dengan nasihat Panel Pelaburan dan Ahli Lembaga Pengarah sentiasa berusaha memastikan pelaburan yang dibuat adalah halal dan tidak bertentangan dengan hukum Syarak.

Soalan 53

Bagaimanakah caranya pencarum sukarela yang dipinjamkan kepada satu organisasi lain yang masih mahu meneruskan caruman di LTAT?

Jawapan

Pencarum sukarela boleh meneruskan untuk mencarum sukarela dengan mengemukakan surat pengesahan kepada LTAT memaklumkan bahawa mereka telah ditumpangkan ke agensi luar dan mencatatkan tarikh tamat perkhidmatan di agensi yang ditumpangkan.  Pencarum perlu memohon kepada majikan yang baru supaya dapat membuat potongan caruman atas nama LTAT dan dihantar setiap bulan.

                   Sekiranya majikan tidak dapat membuat potongan caruman, pencarum boleh mencarum dengan menggunakan cek peribadi dengan syarat pencarum perlu mengemukakan surat pengesahan majikan kepada LTAT, menyatakan tidak dapat dibuat potongan dan pengesahan tempoh kontrak perkhidmatan pencarum di agensi tersebut. Seterusnya pencarum boleh menghantar cek bersama surat iringan kepada LTAT.

Soalan 54

Mengapa harga barang di Kedai PERNAMA adalah lebih tinggi berbanding pasaraya lain?

Jawapan

PERNAMA juga ada menawarkan rangkaian barangan di mana harga-harganya jauh lebih rendah dari pasaraya lain (contoh: Tesco dan Giant). Contohnya, beras 10kg pecah 5%, dijual kepada warga ATM pada harga RM21.00 sahaja. Sila bandingkan juga harga PERNAMA untuk Mee Maggi, kicap Habhal, milo, sos tomato, sos cili, rokok serta mana-mana harga barangan harga prihatin di mana-mana kedai PERNAMA. PERNAMA juga memberi subsidi rebet tunai bagi membantu warga tentera dalam menangani kesan kenaikan harga barangan. PERNAMA telah memberi subsidi untuk barangan ruji yang dijual di bawah harga pasaran seperti beras, tepung, gula, kicap, sos, minyak masak, biskut, teh, milo dan lain-lain.

Soalan 55

Adakah harga barang di Kedai PERNAMA seragam bagi seluruh Malaysia?

Jawapan

Semua harga di kedai-kedai PERNAMA sepatutnya sama di seluruh Malaysia. Sekiranya terdapat perbezaan, mohon kerjasama supaya maklumat ini dapat disalurkan kepada pihak PERNAMA untuk tindakan.

Walau bagaimanapun, ini tidak terpakai bagi Kedai Z-mart (juga diseliakan oleh PERNAMA tetapi BUKAN kedai PERNAMA) yang digunakan sebagai Kedai Latihan dibandingkan dengan harga mana-mana kedai PERNAMA kerana ianya tidak setara disebabkan kedai Z-mart diuruskan oleh pelatih PERHEBAT.

Soalan 56

Adakah anggota akan menerima semula lebihan bayaran Skim KASUMA?

Jawapan

Maklumbalas yang diperolehi daripada PERNAMA adalah proses pemulangan wang lebihan kutipan skim KASUMA mengambil masa 3 bulan kerana ianya memerlukan pengesahan dan tamat proses kutipan oleh UGAT. Jika pelanggan tidak menerima pemulangan wang dalam jangkamasa tersebut, sila berhubung dengan mana-mana kedai PERNAMA terdekat atau hubungi Ibu pejabat PERNAMA di talian 03-33410572.

Soalan 57

Adakah LTAT mempunyai sebarang cadangan untuk membuka cawangan di seluruh Malaysia?

Jawapan

Sebarang cadangan untuk membuka cawangan di seluruh Malaysia perlu mengambilkira kos operasi dan skop perkhidmatan yang disediakan LTAT pada masa ini, di mana pencarum yang menamatkan perkhidmatan hanya perlu menghadirkan diri di Kementah untuk proses dokumentasi akhir. LTAT juga telah menempatkan seorang Pegawai Liaison di Seksyen Pemberhentian di UGAT bagi membantu pencarum yang memerlukan bantuan semasa dokumentasi akhir tersebut.

Permohonan pengeluaran pula boleh dimajukan melalui pos bagi pencarum yang berada di luar Lembah Klang. Selain itu, LTAT juga menyediakan sistem semakan atas talian i-Wira bagi kemudahan seperti berikut:

§  Menyemak penyata Caruman LTAT tahun semasa dan tahun sebelumnya

§  Menyemak maklumat penamaan waris

§  Menyemak Dana Unit Amanah Affin Hwang

§  Menyemak sejarah pengeluaran caruman

§  Membuat aduan, pertanyaan dan cadangan

dan e-kiosk di kem-kem utama di seluruh Malaysia bagi kemudahan pencarum mendapatkan penyata caruman, maklumat dan borang-borang urusan LTAT serta maklumat berhubung perkhidmatan yang disediakan oleh perbadanan-perbadanan LTAT selain dari kemudahan memuat turun borang-borang urusan LTAT melalui laman sesawang LTAT di alamat www.ltat.org.my. Pengurusan LTAT sentiasa berusaha bagi memastikan kos operasi adalah di tahap minima bagi memberikan pulangan dividen dan bonus yang optima kepada pencarum.

Soalan 58

Apakah borang dan dokumen yang diperlukan oleh LTAT bagi pengeluaran wang caruman ahli apabila pencarum mencapai usia 50 tahun?

Jawapan

Borang dan dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut:

i)        Borang Pengeluaran Caruman (Pengakuan Oleh Ahli) – LTAT/PWCA 14-2/1 yang diisi oleh ahli.

ii)   Surat Kenyataan Perkhidmatan dari Jabatanarah Rekod dan Pencen (JRP) yang mengesahkan mencapai umur 50 tahun.

iii)       Sesalinan My Tentera.

iv)       Pengesahan Akaun Bank yang aktif (Dapatkan di bank berdekatan)

Proses pembayaran caruman akan dilaksanakan dalam masa 24 jam setelah LTAT menerima dokumen lengkap daripada ahli.

Soalan 59

Bagaimanakah Dana Unit Amanah boleh dituntut oleh waris yang sah sekiranya anggota meninggal dunia dalam perkhidmatan atau setelah menamatkan perkhidmatan.

Jawapan

Dana Unit Amanah boleh dibuat tuntutan oleh waris yang sah iaitu :

i)    Menghubungi Affin Hwang Asset Management Berhad di Talian Bebas Tol 1300-80-1188 dan memaklumkan berkaitan kematian bekas anggota.

ii)      Dapatkan penyata terkini Unit Amanah Saham daripada Affin Hwang Asset Management Berhad dan seterusnya ke Pejabat Tanah/Amanah Raya Berhad Negeri bagi mendapatkan Surat Kuasa Pentadbir.

iii)        Menghubungi semula Affin Hwang Asset Management Berhad untuk tindakan selanjutnya.

Carian

Hubungi Kami

LTAT

Lembaga Tabung Angkatan Tentera
Tingkat 12, Bangunan LTAT,
Jalan Bukit Bintang,

Peti Surat 11542, 

50748 KUALA LUMPUR
[peta lokasi]
Emel: ltat[at]ltat.org.my


Tel: (60) 3-2148 9777
Faks: (60) 3-2142 7646